Ahad, 10 Oktober 2010

PELEPAS

Seperti yang aku ceritakan sebelum ini,petang jumaat 8/10/2010 lepas asar tu aku bersama dengan ibu dan suami aku serta anak-anak aku pergi ke rumah bomoh untuk melakukan upacara 'pelepas' untuk ibu aku.

Sesampainya kami di rumah bomoh itu,kami berselisih dengan sebuah kereta yang bernombot plat Terengganu baru saja beredar dari perkarangan rumah bomoh itu.
Naik ke atas rumah bomoh,terdapat 2 orang pembantu bersama-sama bomoh itu.

Setelah menyerahkan barang-barang yang dipesan oleh bomoh tersebut iaitu benang mentah,air mawar,limau nipis dan limau purut, ibu aku diminta duduk di depan bomoh itu.

Memulakan upacara,bomoh itu berselawat ke atas nabi seterusnya membaca surah-surah dari al-quran.
Ibu aku disuruh minum segelas air kosong yang dicampurkan dengan sedikit air mawar.Bomoh tersebut menyuruh ibu aku membaca selawat sebelum meminum air tersebut.

Selepas itu,ibu aku disuruh duduk melunjurkan kaki dengan membelakangi bomoh itu.
Dengan mulut terus membaca surah al-quran(dapat didengar dengan jelas bacaannya) bomoh itu menaburkan beras di sekeliling ibu aku.

Dengan pertolongan seorang dari pembantunya,bomoh itu mengambil benang mentah yang telah menjadi satu lingkaran.Dia memasukkan benang mentah itu bermula dari kepala sehingga ke kaki.Setelah itu,dia memberikan benang itu kepada ibu aku untuk dilakukan cara yang sama seperti yang dilakukannnya.
Sementara ibu aku melakukan seperti yang disuruh,pembantu tadi berada di hujung kaki ibu aku untuk menyambut keluar benang mentah yang sedang dipegang oleh ibu aku.

Selepas itu,ibu aku di pukul dengan perlahan dibahagian belakang bermula dari kepala hingga ke kaki dengan daun yang aku pun tak tahu nama daun itu cuma yang aku tahu daun itu digoreng bersama telur.
Ada sekali,bomoh itu menggenggam beras dan diletakkan di atas kepala ibu aku dan ditaburkan.
Akhirnya,bomoh itu memotong semua limau nipis dan purut dan digunakan untuk memandikan ibu aku.

Alhamdulillah,segalanya telah selesai.Mengikut kata bomoh itu,insyaAllah dengan izin Allah semuanya telah berakhir.

Tepatlah sangkaanku bahawa tiada aktiviti paranormal yang menakutkan apalagi menggerunkan yang berlaku semasa upacara 'pelepas' ini.Sesungguhnya semua peristiwa yang berlaku ini menginsafkan dan menyedarkan aku tentang kebesaran Allah.
Allahuakbar...

1 ulasan:

  1. InsyaAllah..tiada kuasa yang lebih besar melainkan Allah...Along doakan semoga keluarga Decnor sentiasa dilindungi olehNya...

    BalasPadam